Monday, 30 December 2013

Episode [2] *Kemelut*


Episode [2] *Kemelut*

    Hari Raya tahun itu, aku, ayah dan ibu telah bertandang ke rumah kawan rapat ayah, Tuan Hj.Hasbi di Kampung NJ. Suasana bukan main riang lagi memandangkan ayahku sudah lama tidak berjumpa dengan mereka. Tambahan lagi sahabatnya itu tidak lama lagi akan berangkat ke Tanah Suci. Pelbagai kenangan silam timbul kembali. Dari keadaan kampung yang bertiti kini sudah mempunyai jalanraya. Ayahku juga seorang kaki pancing, begitu juga dengan Tuan Hj.Hasbi ini. Mereka mempunyai hobi yang sama. Habis cerita pasal hobi masuk pula cerita peribadi. Tuan Hj.Hasbi ini ialah guru mengajar Al-Quran. Suka juga hati aku hendak belajar mengaji Al-Quran dengannya. Tiba-tiba sahabatnya mengesyorkan agar kami menetap di kampung tersebut diam berdekatannya. "Ada sebidang tanah tiada lot atau geran hendak dijual", kata Tuan Hj.Hasbi. "Mengenangkan kawan, kalau tak tolong kawan nak tolong siapa lagi", tambahnya. Ayah bukan main gembira sekali ibarat 'orang mengantuk disorong bantal'. Tidak sabar-sabar ayah hendak melawat tapak. Sebaik sahaja hendak pulang Tuan Hj.Hasbi pun terus sahaja mengajak ayah pergi meninjau kawasan tanah yang dimaksudkan dn jaraknya tidaklah jauh sangat dari rumahnya.

    Hari demi hari berlalu dengan begitu pantas sekali. Ayah masih belum memikirkan untuk membeli tanah tersebut. Perkara yang merunsingkan ayah kalau tanah tersebut tidak bergeran dan hanya membuat perjanjian sesam sendiri. "Takut pisang berbuah dua kali", keluh ayah. Sahabatnya ada juga beberapa kali menelefon samada jadi atau sebaliknya keran tuan tanah sudah beria-ia hendak menjualnya. Setelah berunding dengan tuan tanah yang dikenali sebagai Nenek Umar, ayah memberitahu ibu bahawa tanah tersebut berharga RM 7,000.00 dan tak boleh ditawar. Ayah telah pun berjanji untuk membelinya, maklumlah tanah ditepi jalan. Hendak dikatakan tidak ada surat, tanah seluruh kampung tersebut pun bukan ada surat. Tanah milik orang cina di depan kampung itu ada surat pula, orang cina memang bijak.

    Nampaknya ayah sangat puas hati kerana tanah tersebut di tepi jalan besar dan berhampiran pula dengan sekolah. Ibu juga turut gembira membeli tanah tersebut dan surat perjanjian telah ditandatangani atas namanya. Wang pun telah dibayar untuk ganti penat lelah atau dengan lain maksudnya jual juga. Semua orang yang terlibat telah diberi 'angpow' oleh ayah. Bukan main sengih lagi Nenek Umar, tuan tanah itu kerana sudah beberapa kali hendak jual asyik tidak jadi sahaja. Entah di mana silapnya pun tidak tahu.

    Ayah dan ibu selalu sahaja melawat tapak tanah tersebut. Tanah tidak ada geran takut-takut terbeli tanah orang. Buat-buat ada orang yang membawa parang, nahas pula nanti. Terdapat pula kawan ayah di sebelah tapak tanah tersebut dan pernah berkerja bersama-samanya di Kem Tentera. Bukan main yakin lagi abah kerana sudah ada kawan. Akuu pun selalu mengikut ayah dan ibu ke sana tapi hanya diam di dalam kereta kerana aku rasa kurang selesa melihat keadaan sekeliling. Aku pun tidak tahu mengapa. Ayah seorang yang berfikiran jauh, ia mula bertandang kerumah jiran-jiran yang berdekatan menyatakan hasratnya untuk mendirikan rumah di sana. Pada mulanya keadaan nampak baik dan sentosa, tidak tahulah kalau mereka pandai berlakon sahaja.

    Setiap kali ayah menjenguk tapak tersebut sudah pastinya dia akan singgah ke rumah Pak Cik Jantan dan Pak Cik Jamal. Kedua-dia kelurga ini sangat peramah dan periang serta mengalukan kedatangan ayah. Mereka dengan sukarela mengukur dan menanda kawasan tapak tersebut. Apa lagi ayah, melihat mereka begitu baik tidak sedar not merah keluar dari poketnya, diberikan kepada mereka buat upah bersih kawasan dan sebagainya. Ibarat macam kerja perisikan 'heart and mind'. Kerja ini memang pakar buat ayah kerana beliau seorang tentera. Niat ayah baik tetapi syaitan yang berketayap di kampung tersebut tidak dapat dilihat dengan mata kasar......

bersambung...

No comments:

Post a Comment